Tuesday 5 June 2012

Facebook perkenal teknologi pantau kanak-kanak

gambar hiasan

FACEBOOK sedang mengusahakan satu teknologi yang membolehkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun hanya menggunakan laman rangkaian sosial itu di bawah pengawasan ibu bapa, demikian mengikut sumber yang rapat dengan usaha itu.

Facebook ketika ini mensyaratkan ahlinya mestilah sekurang-kurangnya berumur 13 tahun, tetapi usaha baru itu dilakukan kerana kebanyakan kanak-kanak menipu mengenai umur mereka bagi mendapatkan akses Facebook dan 900 juta ahlinya, kata sumber itu kepada AFP.
Seorang jurucakap Facebook memberitahu AFP bahawa tiada keputusan dibuat mengenai sebarang perubahan dasar.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata syarikat yang berpangkalan di California itu kini meninjau kaedah terbaik bagi mengawal kanak-kanak menggunakan Facebook.

“Kebanyakan laporan kebelakangan ini menunjukkan betapa sukarnya untuk menguatkuasakan had umur di internet, terutama apabila ibu bapa membenarkan anak-anak mereka untuk mengakses perkhidmatan dan kandungan dalam talian, "kata kenyataan itu.

“Kami kini berdialog dengan pihak berkepentingan, pengawal selia dan pembuat dasar lain mengenai cara terbaik membantu ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka selamat dalam persekitaran dalam talian yang berubah-ubah.”

Usaha oleh Facebook bagi membenarkan kanak-kanak, iaitu yang pertama kali dilaporkan oleh Wall Street Journal, akan menggunakan teknologi bagi membenarkan ibu bapa menentukan dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan aplikasi apa yang boleh digunakan mereka.

Laporan itu menyatakan bahawa kebanyakan golongan remaja menipu mengenai umur mereka, sekali gus meletakkan syarikat itu dalam kedudukan serba salah dalam memenuhi keperluan kerajaan persekutuan dalam mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum mengumpul data peribadi.- AFP