Tuesday 5 June 2012

Nenek kebayan makan daging mentah

WAJAH perempuan tua yang hodoh sering digambarkan oleh mangsa histeria di sekolah di negara ini. - Gambar hiasan


WANITA itu digambarkan sebagai seorang yang sangat tua, bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Lenggok langkahnya yang dibantu sebatang tongkat kayu nampak tidak gagah.

Dikenali sebagai nenek kebayan, kisah wanita itu telah diperturunkan dari zaman dahulu hingga kini dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam Hikayat Malim Deman dan Hikayat Hang Tuah.

Dalam kisah-kisah tersebut wanita itu menunjukkan watak baik. Dia menjadi perantara untuk manusia biasa berhubung dengan puteri kayangan dengan kuasa magis yang dimilikinya.

Dalam versi lain, nenek tua itu digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki rupa paras menakutkan dan gemar menculik kanak-kanak menerusi lirik lagu rakyat, Nenek Si Bongkok Tiga.

Dia juga terkenal sebagai penjaga Puteri Gunung Ledang yang mendiami gunung tersebut yang terletak di Ledang, Johor menerusi cerita-cerita legenda.

“Walaupun banyak versi cerita tentangnya, kewujudan nenek kebayan ini bukan dongeng semata-mata,” jelas seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie.

Ilmu hitam

Nenek kebayan merupakan manusia biasa yang gemar tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa.

Dia suka membantu masyarakat kampung dan golongan berkedudukan terutamanya dalam bidang perbidanan dan perubatan. Nenek kebayan dijadikan sebagai penjaga keselamatan sebahagian keluarga raja dan pembesar zaman dahulu.

“Nenek kebayan merupakan seorang bidan, bomoh dan pawang. Namun malangnya dia mengamalkan amalan syirik dalam proses perubatannya.

“Orang zaman dahulu kala gemar menggunakan bantuan jin dalam upacara perubatan. Tidak hairanlah kalau nenek kebayan boleh hidup lama biarpun bersendirian di dalam hutan kerana ada makhluk lain yang berdampingan bersamanya,” jelas Shamsuri.

Menurut Shamsuri, biarpun kewujudannya tidak dapat dipastikan, namun ciri-ciri yang digambarkan oleh wanita itu menjelaskan bahawa ia mampu hidup sendirian dan mempunyai kuasa sakti kerana bantuan jin tersebut.

Jika kebanyakan warga emas mengamalkan memakan ulam-ulaman mahupun sumber alam untuk kekal awet muda, berbeza pula dengan nenek kebayan apabila dia gemar memakan daging mentah.

“Nenek kebayan makan begitu banyak kerana berkongsi hidangan dengan makhluk yang mendampinginya. Dia suka makan daging mentah dan darah,” tutur Shamsuri.

Hutan

Jelas Shamsuri, seiring dengan peredaran zaman dan kepercayaan masyarakat pada zaman ini yang lebih berpegang kepada ajaran Islam, kisah nenek kebayan kini sekadar menjadi cerita rakyat.

Namun, jin belaan nenek kebayan masih wujud di hutan kerana di situ tempat makhluk seperti itu berkeliaran.

“Mungkin di kawasan Semenanjung Malaysia nenek kebayan sudah tiada lagi kerana masyarakat hari ini sudah tidak mempercayai amalan seperti itu.

“Tetapi di rantau Nusantara ini mungkin masih ada nenek kebayan yang tinggal di dalam hutan bersama jinnya,” jelas Shamsuri.

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi memberitahu bahawa dia pernah ‘ditegur’ makhluk yang menyerupai seorang nenek tua ketika mengikuti program perkhemahan di sebuah kawasan di kepulauan Borneo.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razali bersama beberapa orang kawannya berkhemah di sebuah kawasan yang berdekatan air terjun yang dilatari oleh hutan tebal.

“Setibanya saya di tempat itu, saya melihat suasananya begitu cantik seperti terpelihara. Ketika terlelap kerana penat selepas memasang khemah, saya terjaga kerana berdepan dengan mimpi aneh.

“Dalam mimpi itu seorang wanita tua yang bongkok dan berwajah hodoh menghampiri saya dan berkata bahawa dia membenarkan kami mandi di kawasan air terjun itu, tetapi kena menjaga tingkah laku.

“Sejurus kemudian saya tersedar. Begitu sukar untuk mengiakan sama ada ia hanya mainan tidur atau benar-benar pesanan yang disampaikan oleh orang tua itu,” ujar pelajar berusia 22 tahun itu.